1. Jika tinggal puasa 10 hari pada tahun 2012, tapi tak ganti lagi hingga lepas tahun 2013, adakah nak kena berganda?
Jawapan: Tak payah berganda, inilah keputusan fatwa di Selangor. Maka, 10 hari X RM1.80 = RM18.00.
2. Bolehkah saya bayar fidyah terus kepada penerima?
Jawapan: Boleh, cuma kena pastikan penerima memang miskin, kerana fidyah kena bagi kepada orang miskin.
3. Bolehkah bagi fidyah dalam bentuk makanan?
Jawapan: Memang boleh, dengan syarat makanan yang mengenyangkan.
4. Jika beri dalam bentuk wang bagaimana?
Jawapan: Ya, masih diterima dan bagi tahu kepada penerima bahawa itu wang fidyah dan mestilah digunakan untuk membeli makanan yang mengenyangkan.
5. Bolehkah pihak LZS menerima fidyah?
Jawapan: Ya, boleh cuma fidyah tidak boleh mendapat rebat cukai pendapatan.
6. Apakah ada fidyah lain selain puasa?
Jawapan: Secara umumnya, tiada dan hanya puasa yang wajib diganti dengan fidyah.
7. Siapakah yang kena fidyah?
Jawapan: Orang yang wajib bayar fidyah itu ialah:
A. Orang yang meninggalkan puasa dan tidak mengqadakannya hingga masuk puasa tahun berikutnya.
B. Orang yang meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya (sama ada semasa mengandung atau menyusukan).
C. Orang yang sakit dan tidak ada harapan sembuh.
D. Orang yang sudah terlalu tua dan tidak mampu berpuasa.
8. Bagaimana jika seseorang itu tidak mampu membayar fidyah?
Jawapan: Waris atau walinya boleh membantu dan jika ditakdirkan semuanya tidak mampu, maka terlepaslah kewajipannya namun hendaklah mereka memperbanyakkan amalan soleh dan ketakwaan sebagai gantinya.