Apakah sembahyang yang kita lakukan sejak baligh sehingga ke hari ini diterima Allah? Pernahkan kita menganalisa, sejauh manakah kita khusyuk di dalam sembahyang, kerana khusyuk merupakan salah satu syarat untuk sembahyang itu diterma Allah.
Bagi orang-orang yang soleh dan solehah, mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang. Sekiranya pekerjaan seharian terganggu, atau tiada kelancaran semasa bekerja, perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa semula sejauh mana khusyuknya mereka dalam sembahyang. Ini adalah kerana sembahyang merupakan hubungan manusia dengan Allah.
Sekiranya hubungan dengan Allah pun tidak selesai, dengan manusia tentunya lebih susah lagi. Seterusnya, ketaatan kepada pemimpin tidak akan berlaku sekiranya tiada ketaatan kepada Tuhan. Sembahyang perlu dinilai dari segi berjemaah atau tidak, tepat pada waktunya ataupun tidak, khusyuk atau tidak dan kelurusan saf di dalam sembahyang. Untuk menilai sembahyang kita, mari kita bersama-sama meneliti peringkat-peringkat sembahyang berikut. Dalam golongan manakah kita dikategorikan.
Sembahyang Orang Jahil
Sembahyang seseorang yang tidak faham tentang rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, syarat sah sembahyang, persoalan suci dari hadas kecil dan hadas besar dan sebagainya. Sekalipun sembahyang itu kemas, tepat pada waktunya dan berjemaah, tetap tertolak kerana dilakukan tanpa ada ilmu.
Sembahyang Orang Lalai
Pada zahirnya adalah lengkap. Ini kerana sebelum sembahyang itu dikerjakan, ilmu mengenainya sudah dipelajari. Bacaan dalam sembahyang dijaga betul. Tapi fikiran orang orang yang bersembahyang itu melayang, memikirkan perkara lain, tidak menghayati sembahyangnya. Sedangkan khusyuk dalam sembahyang merangkumi khusyuk, akal, hati dan perbuatan. Golongan inilah yang dikatakan lalai di dalam sembahyang sepertimana firman Allah: "Sebab itu, celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang dan mereka lalai dari sembahyangnya."
Surah Al-Ma'un, Ayat 3 dan 4. Mereka ini akan Allah masukkan ke dalam Neraka Wail.
Sembahyang Kerana Selain Allah
Sembahyang yang dilakukan kerana adat dan budaya. Mungkin seseorang itu lahir dalam suasana Islam. Sejak kecil dia melihat orang sekelilingnya sembahyang, lantas dia pun sembahyang. Ini bermakna sembahyangnya bukan kerana syariat tapi kerana takut dimarahi ibu bapa, takut tersisih dan sebagainya. Sembahyang bagi golongan ini juga tertolak.
Sembahyang Peringkat Mujahadah
Golongan yang sembahyangnya diperingkat ini pula, mereka memiliki ilmu tentang sembahyang dan berusaha menghayati sembahyangnya. Mereka ada kesungguhan tetapi jiwa tidak hidup. akal sudah berperanan, tetapi hati belum dapat dibawa bersama di dalam sembahyangnya. Bahkan di dalam sembahyang, mereka bermujahadah untuk mendapatkan rasa khusyuk. Allah sayang pada orang yang bermujahadah. Allah menerima sembahyang golongan ini setakat yang mereka khusyuk sahaja. Walau bagaimanapun, mereka masih belum tentu selamat. Terpulanglah kepada Allah menentukannya. Kalau dengan rahmat Allah, Dia hendak mengampunkan dosa hambaNya, Dia ampunkan. Kalau Dia hendak siksa pun, itu adalah hakNya sebagai Tuhan.
Sembahyang Orang Soleh
Diperingkat sembahyang ini, akal fikiran sudah boleh ditumpukan supaya khusyuk kepada Tuhan di dalam sembahyangnya tetapi jiwa dan hati belum sepenuhnya dikawal. Akal sudah boleh disibukkan dengan mengingatkan makna-makna bacaan dan pergerakan sembahyang. Golongan ini sudah tidak lalai dalam sembahyang. Untuk sembahyang kita diterima, kita sekurang-kurangnya berada diperingkat ini. Ia peringkat paling minimum.
Sembahyang Para Wali
Di peringkat sembahyang para wali, akal, hati dan fizikal telah dapat dikawal. Golongan ini sudah dapat menghayati sembahyang. Apabila menyebut Alhamdulillah, hati terasa bersyukur dan akal memahaminya. Bila berdiri tegak, dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang menghadap Tuhan. Bila bertasbih, terasa dirinya kerdil dan hina di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Bila berdoa, hati sentiasa rasa mengharap. Sembahyang beginilah yang melahirkan rasa kehambaan. Bahkan dapat merasakan kelazatan di dalam sembahyang.
Sembahyang Para Nabi-nabi dan Rasul-rasul
Golongan ini terlalu khusyuk sembahyangnya, dengan lain perkataan 'fana' dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Sifat-sifat Allah dihayati sungguh-sungguh. Bahkan mereka boleh sampai ke alam malakut.
Begitulah di antara beberapa peringkat sembahyang yang boleh kita kategorikan. Sembahyang yang dapat dihayati sungguh-sungguh akan dapat memberikan kesan kepada orang yang melakukannya. Sebaliknya rugilah mereka yang lalai di dalam sembahyang. Sembahyang mereka seperti patuk ayam yang tidak tahu makna apa-apa tentang sembahyangnya.
Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. Firman-Nya lagi "Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.Firman Allah lagi yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]