Contact Form

 

8 Perkara Menguatkan Hubungan Rumahtangga

Perkahwinan adalah suatu ikatan kontrak yang suci di antara seorang lelaki dan seorang wanita yang telah cukup syarat untuk hidup bersama-sama di saat suka dan duka. Menurut Islam, tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan menerusi kepuasan hubungan intim yang disertai dengan perasaan saling mencintai, kasih sayang, keprihatinan, dan perkongsian hidup secara seimbang untuk mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil berat oleh suami dan isteri untuk menguatkan hubungan perkahwinan menurut acuan Islam: 

1. Mempunyai sikap yang baik dengan bersyukur Seorang Muslim mesti sentiasa mempunyai sikap yang positif dan bersyukur dengan kurniaan yang Allah berikan. Ucapkanlah Alhamdulillah di dalam segenap aspek perbuatan, pekerjaan dan kelakuan anda tidak kira apabila suka atau duka. 

2. Sering memberikan bantuan Rasulullah S.A.W sering menekankan kepentingan suami untuk membantu isteri. Begitu juga dengan isteri yang perlu membantu suaminya asalkan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. 

3. Amanah Muslimin dan muslimat termasuklah suami dan isteri mesti saling mempercayai di antara satu sama lain. Jika masing-masing melaksanakan amanah dengan baik dan mengikut perintah Allah, pasti tiada perasaan syak wasangka di antara suami dan isteri. 

4. Perasaan saling hormat menghormati Bagaimana anda boleh dihormati oleh orang lain jika anda tidak menghormati diri sendiri dan orang lain? Suami perlu sentiasa menghormati hati dan perasaan isteri dengan menunjukkan akhlak yang baik dan begitu juga dengan isteri. 

5. Menggembirakan isteri Menurut satu riwayat hadis, Nabi S.A.W meluangkan masa bersama isterinya baginda Saidatina Aisyah (r.a) dengan berlumba lari bersama-sama. Kata Saidatina Aisyah (r.a), "Saya pernah keluar berlari-larian dengan baginda, tetapi apabila saya mendapati saya tidak larat, baginda akan memintas saya". 

6. Sentiasa memaafkan Setiap manusia sering melakukan kesilapan. Inikan pula hubungan suami isteri. Masing-masing perlu belajar untuk memaafkan kesalahan di antara satu sama lain dan berusaha untuk memperbaiki diri demi hubungan yang berkekalan. 

7. Menghabiskan masa bersama-sama. Melakukan perkara dan aktiviti bersama-sama adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Cuba belajar hobi pasangan anda walaupun anda tidak minat. Lakukan aktiviti yang boleh meneroka lebih dalam lagi hubungan anda berdua. 

8. Lakukan amal ibadat bersama-sama Si suami perlu sentiasa mengimamkan solat fardhu di rumah bersama-sama dengan isteri. Lakukan sekurang-kurangnya solat Maghrib secara berjemaah sekiranya sibuk. Ini akan menambahkan keredhaan Allah di dalam kehidupan anda.


Total comment

Author

Nissa

0   semut comel

Cancel Reply